BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday 30 June 2011

APLIKASI KOMPUTER DALAM PENGAJARAN BAHASA: PENGUASAAN GURU DAN KEKANGAN DALAM PELAKSANAAN

           Pengajaran bahasa dengan menggunakan komputer adalah antara kaedah pengajaran yang dianggap bersesuaian dengan keperluan pendidikan kini. Penggunaan komputer dalam pengajaran bahasa mampu mempengaruhi keberkesanan pengajaran guru dan penguasaan kemahiran bahasa pelajar. Persoalannya ialah sejauh manakah guru Bahasa Melayu (BM) melaksanakan pengajaran menggunakan komputer dan tahap penguasaan guru serta kekangan yang dihadapi. Maka kajian secara tinjauan ini meneliti tahap dan kekangan dalam melaksanakan pengajaran bahasa menggunakan komputer. Di samping itu, kajian juga mengkaji  kekangan yang mengganggu pelaksanaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran.  Sampel kajian terdiri daripada 87 guru BM di sekitar daerah Hulu Langat, Selangor. Dapatan kajian menunjukkan sampel kajian menguasai konsep pengajaran bahasa berbantukan computer dan kebanyakan mereka telah mengikuti kursus asas komputer. Kursus yang berkaitan  penyediaan bahan pengajaran multimedia, penggunaan internet dan pembinaan laman web agak kurang diberikan perhatian. Kesan pengajaran BM menggunakan komputer kepada pelajar agak positif terutamanya kepada pelajar yang cerdas. Kekangan utama yang dihadapi oleh guru dalam menjalankan pengajaran BM berbantukan komputer ialah guru kurang mahir mengendalikan komputer untuk pengajaran dan pelajar kurang berminat dalam pembelajaran.


PENGENALAN
Dalam memperkatakan teknologi dalam pendidikan, Grove et al. (2004) menyatakan nilai teknologi di dalam bilik darjah telah menimbulkan isu dan perdebatan dalam kalangan ahli teknologi pendidikan. Teknologi telah dibuktikan dapat meningkatkan produktiviti, menambahkan motivasi, menyokong pengajaran secara tidak langsung, kebolehan pengajaran yang bersifat unik, dan meningkatkan literasi maklumat (Roblyer & Schwier, 2003). Justifikasi ini timbul di dalam iklim kritikan berasaskan pelaburan yang besar dalam teknologi yang diragui keberkesanannya (Cuban, 2001). Dalam hal ini, ahli teori telah meletakkan diri mereka sebagai  penyokong kepada perspektif yang menjurus kepada efektifnya penggunaan teknologi. Dalam hal ini, Ertmer (1999) dan Hokanson & Hooper (2004) telah mengkaji penggunaan secara  efektif keperluan teknologi yang semakin bertambah dan ingin melihat cara guru menggunakan teknologi dan sebab mereka menggunakannya. Mereka juga memfokuskan peranan utama pendekatan pedagogi yang digunakan dalam pengajaran di bilik darjah. Terdapat beberapa isu yang sering dikaitkan dalam pengajaran menggunakan komputer. Stallard (1998) dalam kajiannya menyatakan bahawa keadaan yang menjadikan pengajaran tersebut tidak berkesan ialah kurangnya persediaan guru untuk membangunkan pengajaran yang berbantukan komputer. Di samping itu terdapat juga permasalahan dari segi hardware untuk perisian kursus, sikap guru, pentadbir, latihan, galakan keluarga dan pengaruh komuniti yang mempengaruhi keberkesanan pelaksanaan dalam bilik darjah (Moersch, 1995). 48 1st International Malaysian Educational Technology Convention Pengajaran Bahasa Malaysia (BM) tidak terkecuali daripada pengaruh teknologi maklumat dan komunikasi (TMK). Walaupun pelajaran BM hanya melibatkan penguasaan kemahiran bahasa yang kelihatannya agak mudah untuk dikuasai, namun masih terdapat beberapa isu yang dianggap boleh mengganggu keberkesanan pengajaran . Masalah tersebut termasuklah penguasaan kemahiran asas BM seperti lisan, membaca dan menulis. Pada tahap yang lebih tinggi, masih terdapat pelajar yang tidak dapat memahami teks yang dibaca dengan sempurna.Di samping itu, pada tahap sekolah menengah, penguasaan menulis juga masih lagi perlu diberi perhatian untuk memastikan objektif pengajaranBM tercapai.Oleh hal yang demikian, penggunaan komputer dalam pengajaran BM dilihat sebagai satu usaha yang sesuai untuk memberikan impak terhadap permasalahan yang dihadapi. Sebagai alat bantu pengajaran yang terkini sifatnya, penggunaan komputer dilihat sebagai usaha yang mampu mengubah persepsi pelajar terhadap pembelajaran BM. Guru BM sebagai pengendali pengajaran, perlu mempunyai keterampilan dalam mengendalikan pengajaran bahasa berbantu komputer. Walaupun terdapat kesukaran dalam melaksanakannya, guru perlu bersedia dengan kemahiran dan pengetahuan selaras dengan keperluan pendidikan kini yang memerlukan pengajaran lebih berpusatkan pelajar. Oleh itu , kajian ini cuba mengkaji pemahaman guru BM terhadap konsep pengajaran bahasa berbantukan komputer, tahap penguasaan komputer, kursus yang dihadiri, masalah yang dihadapi dan penyelesaiannya.

Kesan penggunaan komputer dalam pengajaran.
Kebanyakan sampel kajian setuju bahawa (min 4.10) penggunaan komputer dalam pengajaran BM terhad kepada kemahiran membaca sahaja. Manakala mereka berpendapat penggunaan komputer dalam mengajarkan karangan tidak begitu sesuai (min 3.18). Dalam hal ini, untuk mendapatkan kesan yang baik, guru perlu kreatif dalam pengajaran berbantukan komputer. Dari segi kemahiran menggunakan perisian komputer yang berkaitan dengan pembelajaran, kebanyakan sampel kajian tidak menguasainya dengan baik. Contohnya dalam penguasaan authorware dan toolbook, mereka menyatakan tidak menguasainya dengan baik .
Masalah ini juga wujud dalam hal menggunakan multimedia dalam pengajaran. Bagi kebanyakan sampel kajian, mereka hanya akan menggunakan komputer apabila diminta berbuat 51 1st International Malaysian Educational Technology Convention demikian. Di samping itu, terdapat kecenderungan menggunakan komputer hanya
untuk urusan berkaitan pengurusan .


Kesan aplikasi komputer terhadap pelajar
Dapatan kajian menunjukkan, penggunaan komputer dalam pengajaran dapat menambahkan minat pelajar terhadap BM. Walau bagaimanapun, mereka berpendapat pelajar yang pandai lebih berminat dalam pengajaran apabila guru menggunakan komputer di dalam pengajarannya. Bagi pelajar yang lemah, mereka kurang menunjukkan minat dalam pembelajaran bahasa walaupun guru menggunakan komputer. Dapatan juga
menunjukkan penguasaan menulis karangan kurang berkesan jika menggunakan komputer . Dalam hal ini, pembinaan dan penggunaan bahan pembelajaran perlu lebih menekankan aspek multimedia dan interaktif bagi memberikan kesan yang lebih kepada pelajar.Pelajar juga berminat jika menggunakan bahan internet di dalam pengajaran .

Kekangan dalam pelaksanaan pembelajaran bahasa berbantukan komputer
Dapatan menunjukkan terdapat beberapa kekangan yang dihadapi oleh guru dalam menggunakan komputer dalam pengajaran BM. Masih terdapat guru yang tidak mahir dalam mengendalikan pembelajaran berbantukan komputer disebabkan kurang latihan . Guru juga menghadapi masalah dalam pengajaran berbantukan komputer kerana banyak masa perlu diberikan dalam menyediakan bahan. Pelajar juga kurang berminat menggunakan komputer dalam pengajaran BM. Komputer yang digunakan di sekolah sering rosak dan ketinggalan dari segi kapasiti dan teknologi .Di samping itu, terdapat kekangan dari segi sistem selenggaraan komputer yang tidak cekap di sekolah . Masalah bilik komputer juga sering mengganggu kelancaran penggunaan komputer dalam pengajaran. Terdapat guru BM yang tidak dapat menggunakan bilik computer kerana sering digunakan oleh kumpulan pelajar lain . Pengaruh rakan sejawat tidak mempengaruhi sampel kajian dalam pelaksanaan pengajaran berbantukan komputer. Minat mengajar menggunakan komputer tidak menurun apabila tidak ramai guru yang berbuat demikian . Pihak pentadbir sekolah bukan merupakan kekangan kepada pelaksanaan kerana mereka memberi galakan kepada guru agar mengunakan komputer dalam pengajaran .

RUMUSAN
Isu-isu yang dibincangkan di atas kebanyakannya berfokus kepada pentingnya pengajaran berbantukan komputer dilaksanakan dalam pengajaran dan pembelajaran BM. Antara rumusan daripada dapatan kajian yang diperoleh seperti huraian berikut:
Guru perlu menguasai konsep pengajaran bahasa berbantukan komputer agar pemahaman yang mantap terhadap konsep tersebut dapat memberi kesan kepada mutu pengajaran guru. Ini disebabkan terdapat pelbagai pemahaman terhadap konsep yang diberikan oleh guru BM. Tiga komponen utama yang perlu ada di dalam pengajaran bahasa berbantukan komputer iaitu komputer, bahasa dan pembelajaran (Finkbeiner, 2001). Guru pada peringkat awal perlu memahami konsep dan prosedur pelaksanaan pengajaran menggunakan komputer agar memberikan kesan yang optimum kepada pelajar .Penggunaan komputer dalam pengajaran bahasa ada dilakukan oleh guru BM. Namun,penggunaan yang tidak menyeluruh dari segi keperluan perlu diberikan perhatian. contohnya,penggunaan komputer dalam kemahiran menulis sepatutnya diberikan perhatian kerana
penggunaan komputer mampu membantu pelajar dalam menyusun organisasi teks serta dapat memudahkan penyuntingan dilakukan. Bagi memastikan keberkesanan pengajaran, bahan bantu yang digunakan perlulah dapat membantu guru menyampaikan pengajaran dengan lebih berkesan (Yahya Othman, 2007).
Kursus komputer telah dihadiri oleh kebanyakan guru BM. Untuk menjamin keberkesanan penggunaan dalam pengajaran, kursus yang dihadiri perlu dikaitkan dengan pembinaan bahan pembelajaran. Perisian yang sesuai boleh digunakan untuk tujuan tersebut. Ini bersesuaian dengan dapatan kajian oleh Jeong-Bae Son (2006) yang menunjukkan penggunaan computer dalam pengajaran terutama yang melibatkan kursus dalam talian mampu menarik perhatian pelajar. Kesan penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran BM juga didapati positif dengan kebanyakan sampel menyatakan demikian. Antaranya ialah penggunaan computer dapat memupuk minat yang mendalam terhadap penguasaan BM. Kajian yang dijalankan oleh Saad Al Kahtani (1999) menunjukkan penggunaan komputer dalam pengajaran menulis karangan dapat memberi kesan terhadap pencapaian pelajar. Kekangan yang dihadapi oleh guru BM dalam melaksanakan pengajaran berbantukan computer meliputi aspek kursus peningkatan, pelajar yang pelbagai kecerdasan, teknologi komputer yang sering berubah, masa yang diperlukan untuk membuat persediaan pengajaran, dan sebagainya boleh memberi kesan terhadap pengajaran. Stallard (1998) pula menghuraikan faktor kebolehan guru dalam pengendalian komputer, penyediaan bahan pengajaran dan strategi yang sesuai digunakan merupakan kekangan yang sering dihadapi. Dalam hal ini, perancangan dan persediaan pihak pentadbir sekolah dalam menyediakan guru-guru agar benar-benar menguasai kemahiran tersebut perlu dilakukan secara profesional. Masalah dalam penggunaan komputer perlu dihadapi dengan memberikan penekanan kepada   penggunaan ICT dalam pengajaran sebagaimana yang ditekankan oleh Kementerian Pelajaran Sukatan pelajaran BM perlu dirujuk untuk melihat keperluan menggunakan komputer dalam pengajaran. Selain itu, penekanan pengajaran secara integrasi dalam mata pelajaran yang lain juga mampu untuk membantu pelajar mahir dalam sesuatu tajuk (Hokanson & Hooper, 2004) Kesimpulannya, BM sedang mengalami zaman penuh cabaran terutama dari segi pandangan umum terhadap kepentingannya dalam pengajaran (A. Aziz Deraman, 2007). Walaupun demikian, aspek pengajaran perlu diberikan perhatian dengan menekankan penguasaan kemahiran bahasa yang diajarkan. Penggunaan komputer dalam pengajaran BM berupaya meningkatkan lagi keupayaan pelajar dalam menguasai BM dengan lebih baik. Oleh itu, aspek latihan dalam perkhidmatan, penyediaan bahan pembelajaran interaktif, menggalakkan penggunaan internet dalam pengajaran serta penyediaan teknologi yang sesuai dengan keperluan semasa perlu diberikan perhatian.